Makluman

Pembudayaan Komputer Di Sekolah Rendah

Dalam bidang pendidikan, usaha mempertingkatkan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran terus dipergiatkan bagi melahirkan generasi muda yang celik komputer dan sentiasa peka dengan perkembangan teknologi semasa. Selaras dengan kesungguhan kerajaan menggalakkan penggunaan komputer dalam bidang pendidikan, adalah wajar satu kajian dilakukan untuk mengetahui tahap penggunaan komputer bagi pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru-guru. Faktor tahap pengetahuan, sikap, personaliti, sokongan organisasi dan sifat-sifat inovasi komputer (faedah relatif, kesepadanan, kerumitan, kebolehcubaan dan keteramatan) didapati mempengaruhi penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru.Faharol Razi (1998) menyatakan istilah Komputer Dalam Pengajaran dan Pembelajaran diambil daripada istilah asalnya dalam Bahasa Inggeris iaitu Computer-Based Instruction (CBI) yang bermaksud pengajaran terancang berasaskan komputer. Criswell (1989) pula mendefinisikan Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) sebagai penggunaan komputer dalam menyampaikan bahan pengajaran dan melibatkan pelajar secara aktif serta membolehkan maklum balas. Menurut Gagne dan Briggs dalam Rosenberg (2000), komputer dapat digunakan sebagai media pembelajaran kerana komputer memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh media pembelajaran yang lain sebelum zaman komputer. Antara keistimewaan tersebut adalah seperti berikut:
Hubungan Interaktif : Komputer membolehkan wujudnya hubungan di antara rangsangan dengan jawapan. Bahkan komputer dapat menggalakkan inspirasi dan meningkatkan minat.

Pengulangan:Komputer membolehkan pengguna mengulangi apabila perlu untuk memperkuatkan lagi pembelajaran dan memperbaiki ingatan. Aktiviti pengulangan amat memerlukan kebebasan dan kreativiti daripada para pelajar (Clements, 1995).
Maklum Balas Dan Peneguhan: Media komputer membolehkan pelajar memperoleh maklum balas terhadap pembelajaran secara serta merta. Peneguhan positif yang diberi apabila pelajar memberikan jawapan dapat memotivasikan pelajar.
Langkah pertama untuk melaksanakan penggunaan komputer secara besar-besaran di dalam bilik darjah telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Malaysian Institute of Microelectronic System (MIMOS) melalui projek pembangunan perisian (Zoraini, 1998). Projek perisian yang digelar Computer Integrated Learning System (ComIL) telah dijalankan secara percubaan di beberapa buah sekolah terpilih di seluruh negara mulai 1992 (Zulkifli & Raja Maznah, 1994).
Pada tahun 1995, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan program Komputer Dalam Pendidikan dengan memberi penekanan kepada empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Justeru itu, guru-guru mata pelajaran berkenaan dilatih menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, mata pelajaran Literasi Komputer juga diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 1996 sebagai salah satu langkah mengaplikasikan teknologi komputer dalam pendidikan (Zakaria Ahmad, 2003). Kemantapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi maklumat bergantung kepada keupayaan dan kebolehan yang ada pada guru-guru dan pelajar-pelajar yang terlibat.Di era siber kini, guru-guru perlu bersedia menerima penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya dapat melahirkan generasi yang celik komputer. Ini bagi melahirkan generasi yang akan datang tidak kekok dengan perkembangan teknologi yang berlaku saban hari secara berterusan.

 
 
 
 
Pemulihan
 
Pendidikan pemulihan ialah suatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk membantu murid-murid yang menghadapi maslaah pembelajaran. Pendidikan pemulihan merupakan satu rancangan khas untuk membantu menguasai kemahiran-kemahiran asas. Guru hendaklah menggunakan kaedah pendidikan pemulihan, bahan pelajaran, strategi dan aktiviti pengajaran yang bersesuaian dengan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid. Akitiviti pemulihan dijalankan dalam kelas biasa selepas kelemahan penguasaan sesuatu kemahiran dapat dikesan melalui aktiviti penilaian.
1. OBJEKTIF PENDIDIKAN PEMULIHAN
a) Murid-murid dapat menguasai kemahiran tertentu.
b) Mendapat layanan yang bersesuaian dengan kebolehan dan perkembangan kognitif mereka.
c) Menguragngkan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh mereka.
d) Mengembangkan potensi minat mereka terhadap pelajaran ke peringkat yang memuaskan.
e) Memberi peluang yang sama dengan melibatkan murid murid itu dalam aktiiviti sosial baik dalam bilik darjah mahu pun di luar kelas.
f) Memperolehi serta mengamalkan sikap postitif seperti keyakinan diiri dan berdikari apabila mereka berada dalam kumpulan atau masyarakat.
g) Dapat meneruskan pelajaran dalam sistem persekolahan biasa, seterusnya mengurangkan masalah keciciran.

2. FAKTOR-FAKTOR MASALAH PEMBELAJARAN
Secara umumnya, murid-muird yang sentiasa menghadapai masalah pembelajaran adalah terdiri daripada murid-murid yang mempunyai I.Q yang rendah. Keadaan ini berhubung rapat dengan beberapa faktor berikut:
a) Faktor pembelajaran
Kurikulum kurang sesuai dengan perkembangan kognitif kanak-kanak. Strategi dan kaedah mengajar yang digunakan kurang sesuai dengan murid. Bahan pelajaran yang disediakan kurang menarik minat murid-murid.

b) Faktor peribadi
Kemiskinan dan masalah sosial- setengah murid yang miskin terpaksa membuat kerja-kerja sambilan sehingga tidak mempunyai masa untuk belajar. Tidak mendapat galakan dari ibu bapa. Pergaulan dengan rakan-rakan sebaya yang menghadapi masalah yang serupa.

c) Faktor kurang kecerdasan berkait rapat dengan mental. Murid –murid ini terdiri daripada murid-murid yang lambat berfikir, cepat lupa, sukar memahami sesuatu, lemah pengamatan dan sebagainya. Masalah mental wujud adalah disebabkan;
Ø Warisan keturunan ibu bapa.
Ø Kelahiran secara tidak normal speerti kelahiran tidak cukup bulan.
Ø Kecederaan otak kerana penyakit atau kemalangan.
Ø Kekurangan makanan yang berzat.

d) Faktor mental dalam masalah pembelajaran dapat diperlihatkan melalui tanda-tanda berikut;
Ø Tidak boleh membunyikan perkatan dengan tepat.
Ø Tidak boleh menyusun perkataan-perkataan untuk membina ayat dengan tepat. Cepat lupa apa yang di ajarkan oleh guru.
Ø Kadar bacaan lambat atau langsung tidak boleh membaca.
Ø Jangka masa penumpuan perhatian kepada pembelajaran terlalu singkat.
Ø Tidak boleh mengingat turutan, misalnya tidak boleh menghafal sifir darab.
Ø Tidak boleh mengikuti pengajaran guru dalam kelas biasa.
Ø Kebolehan memahami konsep dan menguasai kemahiran adalah lemah dan terhad.
Ø Malas, kurang minat serta mempunyai semangat untuk membaca.
Ø Pendidikan pemulihan hanya boleh diberikan bagi yang mengalami masalah mental yang ringan. Bagi kes yang berat bantuan guru khas adalah diperlukan.

e) Faktor fizikal
ØKekurangan makanan yang berzat- cepat letih menyebabkan tidak berupaya memberikan tumpuan terhadap pembelajarannya.
Ø Kekurangan disebabkan membuat kerja-kerja sambilan.
Ø Murid-murid yang kurang sihat mudah diserang berbagai oenyakit sering cuti menyebabkan pelajaran terganggu.
Ø Masalah kecacatan- pekak, bisu, buta dan sebagainya.

f) Faktor psikologi
Ø Faktor psikologi berkait rapat dengan masalah emosi seperti perasaan takut, benci, diam, malu, tidak berkeyakinan, rendah diri dan sebagainya.

3. PERANAN GURU-GURU BIASA DALAM PERLAKSANAAN PEMULIHAN
Ø Mengatur langakah-langkah yang sesuai dalam pengelolaan sesi pemulihan.
Ø Mengurus aktiviti pengajaran pemulihan.
Ø Menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran.
Ø Menyediakan bahan dalam sesi pemulihan.
Ø Menjalankan aktiviti penialian untuk sesi pemulihan
Ø Mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.

4. LANGKAH-LANGKAH KHUSUS DALAM PENGELOLAAN SESI PEMULIHAN KELAS BIASA

a) CARA MENGESAN MASALAH-MASALAH PEMBELAJARAN MURID
Ø Memerhati murid belajar.
Ø Temuramah / interaksi dengan murid.
Ø Menganalisa hasil kerja murid.
ØMenggunakan ujian saringan untuk mengasingkan kumpulan lambat, kumpulan sederhana dan kumpulan cerdas.

b) MENGANALIS MASALAH PEMBELAJARAN MURID.
Ø Mengadakan ujian diaognostic secara bertulis dalam objektif atau subjektif.Masalah kecacatan fizikal dan mental.

c) MEMBUAT RANCANGAN PROGRAM PEMULIHAN
Ø Rancangan hendaklah dibuat berdasarkan prinsip-prinsip berikut;
Ø Aktiviti pengajaran dan pembelajaran ditumpukan kepada kelemahan murid.
Ø Langkah penyampain hendaklah daripada yang konkrit kepada abstrak.
Ø Menggunakan alat bantu mengajar untuk membantu murid memahami konsep.
Ø Simbol atau istilah hendaklah dikaitkan dengan pengalaman murid supaya murid dapat mengenal pasti kesilapan yang dilakukannya.
Ø Latihan bertulis harus diadakan selepas sesi pengajaran.
Ø Mengadakan penilaian selepas latihan bertulis untuk menentukan sama ada objektif pengajaran pemulihan tercapai atau tidak.

d) MENGADAKAN PENGAJARAN PEMULIHAN
Ø Program pemulihan dijalankan dalam kelas biasa. Murid-murid lain membuat latihan atau menjalankan aktiviti pengayaan. Masa pengajaran 10-15 minit.

5. TINDAKAN SUSULAN
Sekiranya murid-murid bermasalah telah berjaya dalam program pemulihan itu, mereka dibolehkan mengikuti pelajaran baru bersama murid-murid yang lain, jika sebaliknya guru menggunakan senarai semak untuk mengkaji punca kegagalan program pemulihan yang dijalankan.

Pautan Laman Web (Bahan P&P Pemulihan)


 
 
Nilai Murni Amalan Kita





Jules Henry (1975) mendefinisikan nilai sebagai sesuatu yang dikira baik seperti kasih sayang, baik hati, kepuasan hati, keseronokan, kejujuran, kesopanan, ketenangan dan kesederhanaan. Raths, Harmin dan Simon (1980) merumuskan nilai sebagai garis panduan umum terhadap tingkah laku terhadap kehidupan seseorang atau anggota sesuatu masyarakat. Mengikut Redfield (1953) nilai ialah suatu konsep tersurat atau tersirat bagi individu atau sifat-sifat bagi suatu kelompok yang dikehendaki yang mempengaruhi pemilihan ragam, maksud dan segala tindakan. Perkembangan nilai tradisi dapat mengukuhkan ikatan sosial dan menonjolkan identiti masyarakat Melayu. Nilai-nilai tradisi yang telah bertapak dengan kukuh telah menyebabkan terbentuknya sistem nilai yang mencorakkan beberapa kepercayaan, norma, amalan dan tingkah laku anggota sesuatu masyarakat khususnya masyarakat Melayu dari satu generasi ke satu generasi yang meliputi idea, amalan dan pengetahuan.
Hutcheon (1972), seorang ahli antropologi mempunyai beberapa pengertian lain untuk mentakrifkan nilai. Menurut beliau, nilai merupakan norma, idealisma budaya, kepercayaan, barang-barang berharga, orientasi nilai, tingkah laku yang baik dan sikap. Raymond Firth (1964) pula menerangkan bahawa nilai dikenal pasti melalui objek, motif dan matlamat. Clyde Kluckhohn (1951) menjelaskan bahawa konsep nilai kadang kala dikelirukan dengan sikap, tindak-tanduk, objek, kuantiti yang boleh diukur, adat istiadat atau tradisi. Menurut beliau lagi, nilai ialah satu konsepsi yang diingini sama ada yang tersurat atau tersirat yang mencirikan individu atau kumpvla y nmempengaruhi cara, maksud dan matlamat tindakan yang dilakukan. Menyedari akan kepentingan penerapan nilai bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu malahan seluruh anggota masyarakat.
Pusat Perkembangan Kurikulum telah menyenaraikan sebanyak 15 nilai murni dalam Falsafah Pendidikan Negara sebagai salah satu elemen dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kesemua nilai-nilai yang digariskan ini merupakan nilai-nilai asas peribadi yang ingin diterapkan dalam kalangan murid. Penerapan nilai sejak di peringkat sekolah sememangnya sangat tepat kerana nilai merupakan penentu dalam diri manusia seterusnya mempengaruhi pilihannya dalam kehidupan dan akan menentukan tingkahlaku. Super (1957) menerangkan bahawa nilai menyerapi semua aspek kehidupan, semua matlamat yang telah ditetapkan oleh seseorang individu dan perkara-perkara dalam kehidupan yang sangat penting. Coughlan (1969) dalam merumuskan definisi nilai menjelaskan bahawa nilai kebiasaannya dilihat sebagai keutamaan, kriteria, objek, milik, personaliti dan sifat-sifat status, pemikiran yang tetap yang diwariskan dalam objek-objek atau terdapat dalam diri manusia yang bersamaan dengan tingkah laku.
Berdasarkan aspek psikologi pula, Clyde Kluckhohn (1951) mendefinisikan nilai sebagai aspek motivasi yang boleh dirujuk kepada sesuatu taraf, peribadi atau budaya iaitu nilai itu tidak wujud secara mendadak. Definisi ini menekankan bahawa faktor nilai digunakan untuk melakukan sesuatu tindakan dan juga merupakan pengawalan terhadap arah tindakan. William A. Scott (1965) menyamakan nilai dengan moral yang unggul. Beliau mentakrifkan nilai sebagai suatu konsep individu tentang perhubungan yang unggul yang digunakan untuk menilai sesuatu keburukan atau kebaikan dan sesuatu kesalahan atau kebenaran tentang perhubungan yang sebenarnya dilihat atau dirasai. Nilai juga mencorakkan kekuatan dan kelemahan sesuatu bangsa. Kesimpulannya, nilai merupakan satu aspek yang penting dalam mencorakkan budaya hidup manusia. Nilai jugalah yang mencerminkan norma masyarakat. Norma ini amat penting bagi mengawal tingkah laku manusia atau kelompok masyarakat keranajika setiap anggota kumpulan masyarakat dibiasakan membuat apa sahaja tanpa peraturan dan pantang larang, maka sesuatu perkara itu akan dilakukan mengikut sesuka hati sahaja tanpa memikirkan persepsi serta pandangan masyarakat atau orang yang berada di sekeliling. Justeru penerapan nilai yang berasaskan kepada norma yang telah ditetapkan perlu berjalan seiring agar sebuah masyarakat yang harmonis dan bersatu padu dapat dibina.



2 ulasan: